Syukur, itu rezeki kamu

|

Bismillah…

Assalamu'alaikum…
 

Cerita 1: Dalam teksi di Shah Alam

Hari itu sangat panas. Selepas habis tuisyen, saya terus bergerak ke hentian bas di Taman Sri Serdang. Mahu ke rumah seorang sahabat di Shah Alam, niatnya untuk menumpang malam itu untuk memudahkan perancangan menghadirkan diri ke peperiksaan khas uitm adakan. Alhamdulillah, perjalanan hari itu lancar hingga Shah Alam. Sampai di stesyen komuter Shah Alam, saya mengambil teksi untuk ke rumah Cik N. Pada mulanya saya bertanyakan pada seorang pakcik yang berbangsa Melayu, tapi saya disuakan untuk menaiki teksi kepunyaan seorang uncle berbangsa Cina. Tidak lama kemudian, seorang kakak naik dan meminta agar dia dihantar ke Plaza Alam Sentral. Keluar sahaja akak itu dari teksi, uncle Cina itu terus memulakan perbualannya dengan saya.

"Anak tak selalu datang Shah Alam ke?"

"Tak, saya tak tinggal disini. Ini pun sebab nak menumpang rumah kawan," saya menjawab biasa.

"Kenapa tumpang sini? Ada apa-apa ke?"

Saya melihat muka beliau sambil memikirkan bagaimana hendak memberikan jawapan tanpa mendedahkan sebarang maklumat yang detail. Tapi air mukanya nampak baik, InsyaAllah.

"Saya ada exam esok kat Intec. Tumpang rumah kawan sebab takut tak sempat nak datang esok. Exam pukul 9, tapi kena ada disini pukul 8.30," saya menerangkan.

"Oooh.. Exam untuk kerja atau belajar?"

"Exam kerja," ketika itu saya menjeling meter, RM 7. Aduhh.. hehe

"Ooh.. Rumah dekat mana? Baik hati kawan awak bagi tumpang. Syukur, rezeki awak lah tu,"

"Saya dari Serdang. Belajar kat sana. Kami sama-sama belajar dulu," sedikit terkejut kerana beliau menyebut perkataan 'syukur' dan 'rezeki'. Tetapi, saya senyum saja. Uncle ini pun percaya rezeki kan?

Beliau menghantar saya sehingga ke depan rumah kawan saya. Sambil menghulur duit kertas merah, beliau menyambung,"Orang duduk kawasan ni orang kaya-kaya, saudara sultan semua. Adik beruntung, dapat tumpang rezeki kawan ya.. Minta dapat lah kerja tu," Beliau memulangkan kembali dua baki sambil tersenyum.

"Terima kasih ya uncle!"
 

Cerita 2: KL Sentral

"Bukan bag tu belongs to that lady? The lady with the white dress," auntie sebelah menegur sambil memuncungkan mulutnya ke arah beg corak bunga disebelah saya. Lady yang beliau maksudkan baru saja bangun meninggalkan tempat duduk.

"Nope.. the bag was here even before she got here," saya menjawab sambil tersenyum.

"Ooh.. okay la macam tu. Adik mahu pergi mana?" beliau menyambung perbualan.

"Saya mahu ke Serdang. Auntie..?"

"Nak pergi rumah kawan di UKM. My Malay friend. Kenapa hari ni sangat ramai orang? Penatlah auntie nak berebut,"

"Wah malay friend..Oh, hari ni hari last book fest, yang kat PWTC tu," saya mengagak. Sungguh, memang sangat ramai orang hari itu.

"Ya, dia kawan baik saya. You belajar mana?" dia bertanya lembut.

"UPM.."

"Ambil ape (kursus)?"

"Engineering.."

"Ooh bagus la.. rezeki kamu. Engineering apa?"

"Terima kasih.. Aerospace," saya menjawab sambil tersenyum lagi. Sekali lagi, seorang bukan Muslim menyebut perkataan rezeki.

"Wah bidang paling bagus tu.. terus belajar lagi ya! Susah nak belajar tu, syukur kamu dapat peluang,"

Ketika itu, tren sudah sampai. Beliau terus bangun dan berebut beratur. Saya juga bangun, tak mahu ketinggalan tren.

Kesimpulan

Dua pengalaman berbeza, di dua tempat berbeza, satu tema yang sama. Kedua-dua uncle dan auntie menyebut perkataan 'syukur' dan 'rezeki'. Apa yang mereka faham tentang bersyukur atas rezeki? Betapa mudahnya perkataan-perkataan itu keluar dari mulut mereka, dari hanya perbualan biasa. Mereka bukan penganut Islam, tapi mereka percaya rezeki. Mereka percaya rezeki itu datang dan harus disyukuri. Bagaimana pula kita, penganut Islam? Sesuatu untuk difikirkan bersama.

Wassalam..


 

2 comments:

Abu Aiman said...

Salam,
Bagi mereka yang boleh berasimilasi, memang tak ada masalah hidup di mana pun...

EdAlia said...

Kepada Abu Aiman,
W'salam.. Setuju, mereka yang boleh berasimilasi memang tiada masalah. Selalu kita jumpa orang non-muslim menyebut zikir-zikir seperti Alhamdulillah.. Cuma kadang-kadang orang Islam sendiri tidak menyebut sekerap itu dalam perbualan harian.. :-)

Post a Comment