Perihal Jodoh: Terus Positif!
"Mana lah tak kahwin-kahwin, kau yang jual mahal! Sms la dia.. Benda-benda macam ni kena dua-dua belah pihak tau tak,"
"Kau tau tak, ada hadis tu sebut, perempuan yang baik adalah perempuan yang kahwin awal dan ramai anak. Tak risau ke, dah lambat kau ni.."
Ini adalah antara kata-kata 'nasihat' yang saya selalu dapat dari orang sekeliling. Apabila usia diri ini mula menjengah hujung 20-an, ramai sungguh yang 'mengambil berat' soal jodoh saya.
"Betul ni takde boyfriend..?" tanya kawan, kurang percaya.
"Ya," jawab saya, biasanya pendek saja.
Orang-orang di sekeliling mula mengenen saya dengan orang itu, anak saudara yang ini, sepupu yang itu. Jika tidak dilayan, mahu saja dicop sombong dan jual mahal. Bukan jual mahal, tapi saya ada sebab sendiri. Kalau tiba-tiba si bujang yang belum dikenali itu menghantar sms pada malam hari, haruskah si anak dara membalasnya ketika itu juga? Tak ke tak manis itu..
Teringat kata-kata Dr Rubiah Hamzah ketika menyampaikan ceramah beliau di Konvensyen Bidadari Dunia tempoh hari,
"Wanita solehah itu mahal! Ada kita jumpa dia ditepi jalan..? Ada kita jumpa dia di pasar lelong? Tidak..! Dia ekslusif, dia duduk ditempat paling bersih, paling cantik."
Saya ingin menjadi wanita solehah, walaupun jalan ke arahnya sukar, saya pasti. Ingin bertemu Rasulullah. Ingin duduk dikalangan bidadari-bidadari syurga yang cantik. Alangkah seronoknya.
Tetapi macam mana kalau jodoh lewat sampai? Mencari jodoh itu haruslah dengan usaha dan doa yang tidak pernah putus pengharapan. Sekiranya masih belum dapat, tawakal sahajalah. Itukan urusan Allah. Teringat pula kata-kata Ustazah Firuz Akhtar yang bertindak sebagai salah seorang panelis forum Titian Syurga, juga di Konvensyen Bidadari Dunia,
" Anggap sajalah jodoh itu seperti pintu. Kita menunggu pintu kita dibuka oleh orang yang betul. Kalau lama tunggu, anggaplah Allah sedang persiapkan dia untuk kita. Atau pun si dia datang naik keldai agaknya..!" kata beliau sambil berseloroh.
Yang pastinya jodoh itu hanya satu perkara dalam hidup kita sebagai hamba Allah. Yang penting redha Allah. Jika Allah redha kita untuk terus menjadi ahli Kelab Wanita Bujang, marilah kita contohi Maryam. Jikalau Allah takdirkan kita bertemu jodoh yang menjadi penyejuk mata, 'hero' agama, mari kita contohi isteri-isteri hebat seperti Siti Khadijah dan Fatimah. Kisah-kisah hebat kehidupan mereka sudah terbentang di depan mata, tunggu kita saja untuk meneladani mereka.
Kepada sahabat-sahabat perempuan diluar sana yang masih membujang, teruskan berusaha. Bagaimana? Allah sudahpun memberikan panduan. Kalau pun tidak berhasil, berlapang dada sajalah. Seperti yang disebut dalam sepotong hadith,
"Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid"
(dipetik dari buku Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul, karangan Fatimah Syarha Mohd Noordin)
Siapa yang mahu menolak syahid? Tetapi ada syaratnya ya, harus jaga kesucian diri sebagai seorang wanita muslim.
Oleh itu, jika selepas ini kita dicop 'jual mahal' lagi, boleh lah kita menjawab, "Sorry la, mesra-mesra ni saya reserve untuk suami je. Dia otw lagi tu.."
Mari kita terus kuatkan hati dengan sabar. Semoga kita terus dikurnia kekuatan dari Allah swt, ameen. Selamat berhujung minggu buat semua!
Subscribe to:
Posts (Atom)